Seorang penunggang motosikal maut dan sembilan lagi cedera akibat berlumba di LEKAS – Polis Nilai

Seorang penunggang motosikal maut dan sembilan lagi cedera akibat berlumba di LEKAS – Polis Nilai

Akibat melakukan pelbagai aksi berbahaya ketika menunggang motosikal di Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) malam tadi, sekumpulan mat rempit terbabit dalam kemalangan hingga menyebabkan seorang daripadanya maut.

Perkara ini disahkan oleh Timbalan Ketua Polis Daerah Nilai DSP Mat Ghani Lateh yang berkata seorang penunggang motosikal maut dan sembilan lagi penunggang cedera selepas terlibat dalam kemalangan di KM 26.9 Lebuhraya LEKAS arah selatan kira-kira jam 11.30 malam tadi.

“Hasil siasatan awal di tempat kejadian berlaku semasa kesemua penunggang yang terlibat bergerak dari arah Nilai menuju ke Seremban melalui LEKAS. Apabila sampai di lokasi kejadian, salah sebuah motosikal telah gagal dikawal sebelum terbabas dan berlanggar sesama sendiri.

“Seorang penunggang meninggal dunia di tempat kejadian. Manakala lima penunggang parah dan empat lagi cedera ringan. Kesemua mangsa berusia 18 hingga 20 tahun telah dikejarkan ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban,”katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

Menurut Mat Ghani lagi, kes berkenaan diklasifikasikan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian berkenaan diminta untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Balai Polis Daerah Nilai, Inspektor Zarina Aiffin di talian 013-823 8336.

“Dalam masa yang sama, kami juga ingin menasihati pengguna jalan raya supaya lebih berhati-hati ketika memandu mahu pun menunggang motosikal bagi menjamin keselamatan diri dan pengguna jalan raya yang lain,” tambahnya lagi.

Nak jual kereta anda? Jual dengan MyTukar.